Thursday, 22 September 2011

JALAN YANG LURUS


Kita memohon kepada Allah minimum 17 kali sehari untuk ditunjukkan jalan yang lurus. Namun kekadang kita terlupa bahawa bagaimanakah jalan yang lurus tersebut? Allahu a'lam. Allah Maha Mengetahui jawapan tersebut. Cuma dalam kita menerawang dan meneruskan kehidupan, maka kita perlulah menggunakan akal yang ada untuk mengkaji ayat ini lantaran Surah Al-Fatihah itu adalah surah yang merangkumi segala ajaran di dalam Quran, yakni Ummul Kitab.
Jalan Yang Lurus
Seorang muslim adalah seorang pemilik sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak mungkin berubah. Dengan erti, jika berlaku perubahan pada perkara tersebut, maka dirinya secara sendirinya akan segera bertukar menjadi seorang bukan muslim atau disebut kafir. Kafir bererti menutup, iaitu menutup kebenaran yang nyata. Kebenaran yang nyata adalah sejumlah kepercayaan dan keyakinan yang tidak boleh berubah tadi. Kepercayaan dan keyakinan tadi disebut dalam istilah agama sebagai akidah atau iman.
Justeru seseorang itu hanya dikira muslim apabila dia berakidah atau beriman dengan seikat keyakinan yang pasti yang diajar oleh  Islam. Dia dengan itu, dalam beberapa perkara tertentu dan terpilih hendaklah tunduk kepada kehendak ajaran agamanya secara terpaksa dan tanpa pilihan.
Adakah apabila dia terpaksa menerima dan patuh, maka dia telah membantutkan penggunaan akalnya yang setiap masa digunakan untuk memandu kehidupannya itu? Atau adakah Islam pada kemuncak ajarannya telah memusuhi akal dengan mendorong dan memaksa penganutnya mempercayai sesuatu secara membabi buta?
Tentu sekali tidak.
Akal dan Agama adalah daripada Allah. Kedua-duanya tercipta untuk saling memandu manusia menempuh kehidupan di dunia ini. Bagaimana boleh digambarkan sebuah syarikat kenderaan mencipta stering dan tayar sebuah kereta yang saling bertentangan arah tanpa keselarasan? Begitulah Allah, kehendakNya adalah agar seorang hambaNya memiliki seikat kepercayaan dan iman yang diyakini oleh dirinya sendiri melalui akainya walaupun pada awalnya ia adalah semata-mata ajaran wahyu yang didatangkan langsung oleh Allah melalui para rasulNya alaihimussalam.
Maka Marilah kita berdoa agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus. Bolehkan? Tentu boleh! InsyaAllah
Jalan Para Nabi dan Rasul Adalah Jalan Allah
كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ‌ۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَـٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡ‌ۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦ‌ۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٲطٍ۬ مُّسۡتَقِيمٍ


"Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab Neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayatNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya)"
 (Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 213) 


Sumber : http://www.iluvislam.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENAFIAN

PIHAK SEKOLAH adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Sumber-sumber maklumat yang diperoleh telah dinyatakan dari mana sumbernya.