Tuesday 27 September 2011

JENIS-JENIS DADAH

JENIS-JENIS DADAH


Dadah boleh dikategorikan kepada beberapa jenis seperti:

                 
• Opiat dan Opiat Sintetik
• Stimulan
• Ganja
• Halusinogen
• Depresen
• Ubat-ubatan dan bahan-bahan yang disalahgunakan



APA ITU OPIAT?

Gambar : Pokok Popi



Dadah jenis opiat diperolehi daripada tumbuhan pokok popi. Getah dikeluarkan daripada buah popi, lalu ia dikeringkan dan diproses menjadi dadah kumpulan opiat iaitu candu, morfin dan heroin.




APA ITU STIMULAN?

Gambar : Kokain

Stimulan merupakan bahan kimia psikoaktif yang merangsang aktiviti sistem saraf pusat. Terdapat dua jenis stimulan iaitu jenis amfetamin atau Amphetamine-Type-Stimulants (ATS) dan kokain.



APA ITU GANJA?

Gambar : Kanabis dalam bentuk herba, getah dan minyak



Kanabis ialah istilah umum yang digunakan untuk semua jenis dadah yang diperolehi daripada pokok cannabis sativa. Pokok ini berasal dari kawasan beriklim panas seperti Asia, Mexico, Afrika dan Timur Tengah.



Ia merupakan bahan yang sangat kompleks dan mengandungi sekurang-kurangnya 421 jenis bahan kimia yang mana tetrahydrocannabinol (THC) merupakan bahan psikoaktif yang utama. Terdapat 3 jenis bentuk ganja iaitu herba, hashish (getah) dan minyak hashish (cecair).




APA ITU HALUSINOGEN?

Gambar : Pelbagai Bentuk Dadah Halusinogen



Halusinogen adalah jenis dadah asli dan sintetik yang mengubah pencerapan deria. Ia mengubah pandangan visual dan menyebabkan ilusi sehingga susah membezakan yang benar dan tidak benar.



Halusinogen adalah ubat-ubatan terjadual di bawah kawalan Kementerian Kesihatan. LSD, DMT, PCP, meskalin dan psilosibin semuanya termasuk dadah jenis halusinogen. Kesan penyalahgunaan ubat-ubatan ini sukar dibuktikan.



Ubat-ubatan ini amat popular disalahgunakan oleh golongan hippies pada tahun 1960-1970. Kini ia digunakan oleh kebanyakan penagih di negara-negara barat.




APA ITU DEPRESEN?

Gambar : Dadah GHB (terdapat dalam bentuk cecair dan pil)



Ubat depresen termasuk juga ubat-ubat sedative dan tranquilizer. Ubat-ubat ini bertindak dalam sistem saraf tunjang manusia untuk memperlahankan atau menghentikan fungsi-fungsi utama tubuh.



Alkohol adalah minuman keras yang lazimnya disalahguna terutamanya oleh pengunjung kelab-kelab malam. Alkohol juga bertindak ke atas sistem saraf manusia dengan cara memperlahankan fungsi dan reaksinya. Penyalahgunaan alkohol bersama dadah boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti hilang keseimbangan badan dan tidak sedarkan diri. Tindak balas kimia alkohol bersama dadah yang diambil secara berlebihan akhirnya boleh membawa maut.



GHB atau Gamma-hydroxybutyrate boleh diperoleh dalam bentuk cecair jernih, serbuk putih, pil dan kapsul. GHB tidak pernah diiktiraf sebagai ubat dan dikeluarkan dalam makmal haram tanpa sebarang kepiawaian. GHB juga boleh kerap disalahgunakan sebagai rape drug kerana boleh memitamkan mangsa dalam tempoh beberapa minit sahaja.



Ketamin pula sejenis ubat bius haiwan yang kerap disalahgunakan. Ketamin yang diguna dalam bentuk cecair tidak mengkhayalkan. Ia boleh menyebabkan pengguna tertidur dengan cepat. Ketamin dalam bentuk tepung putih pula dipersalahkan dengan cara smoked atau snorted untuk mendatangkan khayalan seperti dibius.




APA ITU UBAT-UBATAN DAN BAHAN YANG DISALAHGUNA?

Gambar : Steroid



Steroid sejenis ubat yang merupakan hormon testeron sintetik. Steroid digunakan loleh doktor untuk merawat pesakit lelah dan lain-lain. Steroid kerap disalahguna oleh atlit di seluruh dunia walaupun terdapat kajian baru yang menunjukkan steroid tidak menyebabkan pertumbuhan otot atau peningkatan kekuatan fizikal. Penyalahgunaan steroid mendatangkan banyak kesan sampingan yang buruk seperti boleh menyebabkan kanser hati.



Gam, petrol dan inhalan lain walaupun tidak perlu dibeli di pasaran haram, juga boleh menghasilkan kesan seperti dadah apabila disalahgunakan. Kekerapan menghidu gam atau petrol boleh mengkhayalkan pengguna dan menyebabkan seseorang itu ketagih.



Selain daripada itu, daun ketum atau spesis mytragynine yang telah disenaraikan sebagai racun dan bahan psikotropik dalam Akta Racun 1952 juga kerap disalahgunakan segolongan rakyat di Utara dan Timur Semenanjung Malaysia.



Selain daripada ubat bius dan depresen, lazimnya ubat-ubatan yang kerap disalahguna adalah berkaitan dengan ubat penenang, ubat tidur, ubat untuk menahan sakit (pain killer) dan sebagainya. Penggunaan yang kerap menyebabkan kebergantungan kepada ubat-ubatan berkenaan.


Sumber : Agensi Anti Dadah Kuala Kangsar


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENAFIAN

PIHAK SEKOLAH adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Sumber-sumber maklumat yang diperoleh telah dinyatakan dari mana sumbernya.