Thursday 15 September 2011

ASAL USUL NAMA SMK TUN SYED ZAHIRUDDIN

Nama SMK Tun Syed Zahiruddin diambil sempena mengenang jasa Yang dipertua Negeri Melaka ke 4 iaitu Tun Syed Zahiruddin.

Siapa Tun Syed Zahiruddin?

LATAR BELAKANG

Tuan Yang Terutama Tun Syed Zahiruddin Bin Syed Hassan atau Y.A Bhg. Orang Kaya Seri Maharaja Tun Haji Syed Zahiruddin bin   Syed   Hassan    telah   dilahirkan  pada 11 Oktober 1918 di Pondok Tanjung, Kerian, Perak. Beliau merupakan anak sulung daripada enam orang adik-beradik. Bapa beliau bernama Syed Hassan bin Syed Ibrahim,  dan  ibunya  Raja  Halimah bte Raja Abdullah.  Bapanya  berasal  dari Sayung, Kuala Kangsar, Perak manakala ibunya dari Pondok Tanjung, Kerian, Perak.

PENDIDIKAN

Tun  Syed  Zahiruddin  bin  Syed Hassan  telah   menerima pendidikan  awal   di  Sekolah Melayu Tapah Perak. Beliau menuntut di sana selama setahun iaitu pada tahun 1924 hingga tahun 1925.  Kemudian  beliau  melanjutkan   persekolahan di Sekolah Melayu  Pondok  Tanjung  selama 4 tahun  iaitu dari  tahun  1925 sehingga tahun 1929  dan seterusnya ke Clifford School, Kuala Kangsar, Perak. Pada tahun 1930, beliau memasuki Maktab Melayu Kuala Kangsar sehingga lulus Senior Cambridge.

Kecemerlangan  dan kepintaran beliau telah membolehkan beliau  terpilih  untuk meneruskan  pengajian ke Raffles College, Singapura pada tahun 1938 sehingga tahun 1941, dan berjaya memperolehi  Diploma Kesusasteraan. Ketika di sekolah,  beliau merupakan  seorang  penuntut yang aktif dalam pelbagai bidang sukan seperti bola sepak, hoki, tenis dan kriket.

SUMBANGAN

Memang   tidak  dapat  dinafikan    lagi,  Tun    Syed Zahiruddin merupakan  seorang tokoh pemimpin yang sangat berkaliber. Tidak hairanlah sebelum beliau dilantik menjadi  Yang   di-Pertua   Negeri  Melaka,  beliau  telah  memegang  beberapa jawatan penting di peringkat daerah, negeri dan negara.  Berikut adalah   beberapa jawatan yang pernah disandang oleh beliau:

1942 – 1943 : Timbalan Penolong Pegawai Daerah Gerik
1943 – 1946 : Timbalan Penolong Pengarah Daerah Kechil, Tanjung Malim
1946 – 1947 : Timbalan Penolong Pegawai Daerah,Cameron Highlands
1948 – 1951 : Timbalan Penolong Pegawai Daerah Kerian, Perak
1952 – 1953 : Penolong Pegawai Daerah, Lenggong,Perak
1953 – 1954  : Penolong Pegawai Daerah, Tanjung Malim, Perak
1954 – 1955 : Penolong Pegawai Daerah, Ipoh, Perak
1955 – 1957 :  Penolong Setiausaha II, Kerajaan Negeri Perak
1957 – 1958  : Pegawai Daerah Tapah, Perak
1959 – 1960  :
  • Timbalan Setiausaha, Suruhanjaya Perkhidmatan  Awam, Kuala Lumpur
  • Ketua Penolong Setiausaha, Federal Establishment Office, Kuala Lumpur
1960 – 1961 : Pesuruhjaya Tanah dan Galian, Perak
1961 – 1962 : Setiausaha Kerajaan Negeri Perak
1963 – 1966 :Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian, Malaysia
1966 – 1970 : Setiausaha Tetap, Kementerian Pelajaran, Malaysia
1970 – 1972  : Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam,Malaysia
1972 – 1973  : Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu
1 April 1974  : Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom    
18 Mei 1975 : Duta Malaysia ke Repulik of Ireland


PERLANTIKAN SEBAGAI YANG DI-PERTUA NEGERI MELAKA

Mengenangkan jasa dan pengalaman luas yang ada pada Tun Syed Zahiruddin semasa menjalankan tugas di dalam perkhidmatan kerajaan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke V, Al-Sultan Almu’tasimu Billhi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah telah melantik Tun Syed Zahiruddin sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 19 Mei 1975. 

    Tun Syed Zahiruddin Syed Hassan telah berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka selama sembilan setengah   tahun   iaitu  dari  tahun  1975  hingga  1984. Semasa  menjadi Yang di-Pertua Negeri, Ketua Menteri Melaka yang pernah  berkhidmat di bawah beliau ialah Datuk Setia Hj. Abdul Ghani bin Ali (1 Ogos 1972 hingga 10 Julai 1978), Datuk Seri Hj. Mohamed Adib bin Hj. Mohd Adam (11 Julai 1978 hingga 26 April 1982) dan Ketua Menteri ke enam iaitu Tan Sri Hj. Abdul Rahim bin Datuk Tamby Chik iaitu bermula dari 27 April 1982.

      Tun Syed Zahiruddin juga merupakan Orang Besar Empat kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah iaitu Sultan Perak sejak November 1984 dan pada tahun 1986 beliau telah dilantik menjadi Pro Canselor Universiti Malaya.

KEGIATAN SOSIAL & AKTIVITI MASA LAPANG

Semasa berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka,  Tun  Syed  Zahiruddin amat menitikberatkan pembangunan   Negeri   Melaka   tidak   kira   dari segi ekonomi, politik mahupun sosial.

Sebagai  pemimpin  negeri,   Tun   Syed Zahiruddin tidak terlepas  daripada   menghadiri   majlis-majlis rasmi anjuran kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Di antara tugas-tugas beliau adalah menghadiri Majlis Raja-Raja dan merasmikan kegiatan-kegiatan awam.

Contohnya beliau menghadiri Mesyuarat Majlis  Raja-raja ke-122 di Pulau  Pinang   pada  27 dan  28 September  1978, merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota pada 23 Julai 1983 di Umbai dan banyak lagi.

Ketika  masa  terluang,  Tun Syed Zahiruddin lebih banyak menghabiskan masa beliau dengan membaca. Di samping itu, beliau juga tidak ketinggalan untuk bermain golf dan menyertai sukan menembak.

PERKAHWINAN

Tun  Syed  Zahiruddin   telah   berkahwin dengan Toh Puan Hajah Halimah binti Hj. Md. Noh pada bulan Oktober 1949. Hasil daripada perkahwinan ini, Tun Syed Zahiruddin telah dikurniakan seramai sepuluh orang anak. Isteri Tun Syed Zahiruddin, Toh Puan Hajah Halimah merupakan  seorang  surirumah yang mempunyai hobi bermain golf di masa lapang.

ANUGERAH

Sepanjang  perkhidmatan   Tun Syed Zahiruddin telah    dikurniakan pelbagai darjah kebesaran bagi mengenang jasanya.Anugerah tersebut adalah seperti Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N), D.P.M.K.(Kelantan), P.M.N., Ijazah Kehormat Doktor  Undang-Undang  (Universiti Malaya), Commander of British Empire 1958, P.J.K.  Selain daripada itu nama beliau juga telah  di abadikan di Kolej Kediaman  Ke Sembilan  Universiti  Malaya  yang dikenali dengan nama Kolej  Kediaman Tun Syed Zahiruddin pada 22 Jun 1998. Sebagai mengenang  jasa beliau sebuah  sekolah  menengah  di   Daerah   Jasin, Melaka  telah   dinamakan    sebagai    Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Syed Zahiruddin ( SMK  Tun  Syed Zahiruddin )   dan  memulakan  sesi persekolahan pertama pada 3 Januari 2011.

Sumber : Muzium Negeri Melaka

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENAFIAN

PIHAK SEKOLAH adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini. Sumber-sumber maklumat yang diperoleh telah dinyatakan dari mana sumbernya.